Isnin, 17 Mei 2010



Karnival Bestari Sains & Seni merupakan sebuah acara tahunan Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) yang telah dimulakan sejak tahun 2008. Tahun ini merupakan kali ketiga program Karnival ini diadakan. Ianya merupakan sebahagian dari usaha MGTF mendekatkan diri dengan masyarakat terutama sekali jiran atau komuniti terdekat menerusi aktiviti memperkayakan ilmu pengetahuan sains dan apresiasi seni, budaya dan warisan dalam bentuk yang interaktif, menyeronokkan, menguja dan menghiburkan. Program Karnival ini menjadi kemuncak kepada sebuah lagi program MGTF yang dinamakan Titian-Kreatif yang telah kami mulakan sejak dari tahun 2006.

Titian-Kreatif sebagai prelude kepada Karnival Bestari, melibatkan pelbagai jenis aktiviti memasyarakatkan ilmu sains dan seni menerusi unit atau pasukan bergerak MGTF yang telah merantau ke pelbagai lokasi di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Johor dan Sarawak. Kami telah membuat program di kampong, gedung membeli-belah, pasar malam, hotel, tepian pantai, sekolah, rumah anak yatim dan juga masjid. Menerusi Titian-Kreatif dan Karnival Bestari, MGTF dapat membina rangkaian perhubungan serta kerjasama dengan pelbagai individu, NGO, perkumpulan, pertubuhan, agensi kerajaan dan swasta, kedutaan, sekolah, IPTA/S yang sama-sama berkongsi iltizam dalam melestarikan warisan sains, teknologi, seni dan budaya untuk hari ini dan masa depan.

Program Karnival ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang padat dan bermanfaat untuk pengunjung yang kami kasihi, termasuklah pameran, persembahan budaya, demonstrasi sains, tayangan, bengkel dan pertandingan. Ianya boleh ditamsilkan sebagai bingkisan penghargaan dari kami kepada pengunjung yang kami muliakan, termasuk pelbagai pihak yang telah berkerjasama dengan kami dalam memikul amanah membina profil sebuah masyarakat lestari yang cintakan ilmu.

Menerusi Karnival ini, kami berharap dapat mendekatkan diri dengan pelanggan kami, terutama sekali golongan pelajar. Pada tahun 2009 yang lepas, golongan pelajar sekolah menengah merupakan kategori pengunjung yang paling ramai melawat MGTF yaitu seramai 20923 orang, diikuti oleh penuntut IPTA/S termasuk USM seramai 9719, pelajar sekolah rendah seramai 8945, kategori pelawat berkeluarga seramai 5628 dan kanak-kanak tadika seramai 3135 orang. Atas kerjasama dan sokongan pelbagai pihak, termasuk pihak media massa, pengunjung MGTF telah meningkat hampir dua kali ganda dari seramai 35,433 pada tahun 2008 kepada 61,805 pada tahun 2009. Kami berharap, MGTF akan terus dilawati oleh lebih ramai pengunjung agar segala kemudahan, khazanah dan manfaat yang terkandung di dalamnya dapat dinikmati oleh seluruh golongan masyarakat 1Malaysia tercinta.

Sudah tentulah, kuantiti pengunjung bukan satu-satunya kayu penyukat terhadap kecemerlangan sesebuah muzium. Malah jumlah pengunjung MGTF yang disebutkan tadi jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan muzium-muzium peringkat negeri dan nasional yang lain. Sebaliknya, kualiti atau pengalaman lawatan itu juga haruslah diambil kira. Atas dasar ini, kami sentiasa membuat kajian, tinjauan, dan langkah-langkah penambah-baikan serta transformasi yang komprehensif terhadap MGTF dalam usaha untuk menjamin kualiti kunjungan yang bermakna.

Karnival ini merupakan satu pentas transformatif untuk kami mencetuskan minat dikalangan pengunjung kami, terutama pengunjung muda, untuk melibatkan diri secara proaktif dengan pelbagai bidang sains dan seni menerusi aktiviti pembelajaran dan pengajaran tidak formal yang organik, interaktif, bersifat keterangkuman, menggalak penyertaan, menguja dan menghiburkan. Beberapa kaedah baru yang lebih modular telah kami terokai untuk menyediakan ruang bagi para pengunjung menimba pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Ini diharap dapat mengubah persepsi atau tanggapan negatif terhadap muzium dan galeri yang lazimnya dianggap sebagai lokasi elit untuk golongan tertentu sahaja, ataupun sebagai tempat menyimpan barang-barang purba dan lama yang tidak relevan dengan masa kini, atau bagi segelintir orang, tempat menyimpan hantu.

Karnival ini diharap dapat mengubah persepsi negatif ini, dan membentuk persepsi baru yang lebih segar yang melihat muzium & galeri dengan rasa kepunyaan, sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan yang mesra-pengunjung serta holistik. Untuk tujuan ini, selain dari mengejar atau dikejar pencapaian yang boleh diukur dengan geraf, indeks atau carta, kami juga menumpukan perhatian kepada pembangunan nilai, lebih dari bentuk. Ini termasuklah penumpuan kepada aspek-aspek warisan tidak ketara atau intangible heritage, juga aspek kelestarian rohani seperti kecintaan terhadap kedua-dua bidang sains dan seni, menghargai sejarah dan warisan seni budaya disamping menghormati kepelbagaian budaya, bersemangat untuk mencipta sesuatu yang baru dan bermanfaat dari segi penemuan sains dan rekabentuk teknologi, sikap bertolak-ansur dan berbaik-sangka, perkongsian atau sinergi, kerja berpasukan, inovatif dan kreatif. Untuk tujuan pembangunan nilai-nilai kualitatif dan ‘intangible’ ini, kami menyediakan pelbagai aktiviti yang merentas bukan saja disiplin sains dan seni, otak kiri dan kanan, tetapi juga merentas dimensi, atau transdimensi. Pembangunan sahsiah manusia seperti yang kita tahu, perlu mengambil kira dimensi batin (fikiran, perasaan) dan zahir (jasad dan bentuk) agar kita dapat membina profil masyarakat yang lebih seimbang dan cemerlang.
Karnival ini diharap dapat menjadikan suara dan perspektif masyarakat umum, terutama sekali orang muda sebagai sebahagian dari usaha memperkayakan interpretasi terhadap kandungan koleksi mahupun apa saja bahan simpanan, bahan penyelidikan, pameran dan penerbitan yang terkandung di dalam MGTF ini. Ini dapat mengelakkan MGTF dari menjadi jumud, beku, tepu, statik, terpasung oleh birokrasi, sukar berubah atau susah membuat transformasi hingga menjadi tidak relevan dengan perubahan zaman. Kami berharap Karnival ini, dengan doa, harapan dan sokongan anda sekelian, akan menjadi acara tahunan milik dan manfaat bersama antara USM dengan komuniti sekelilingnya.
Karnival ini juga memperjelaskan lagi pendekatan kami yang berpusatkan-pengunjung dan berpaksikan Yang Maha Esa. Malah, ia memberikan kami peluang untuk membuat kajian dan penyelidikan tentang pelbagai aspek pengunjung baik dari segi profailnya, sikap, tingkah-laku, persepsi, selera, pilihan, kesedaran jenama, malah dari segi pemasaran, promosi dan juga rekabentuk pameran. Kajian ini pula membolehkan kami memperbaiki diri agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk pengunjung dan pelanggan yang kami hormati.

1 ulasan:

  1. Tahun tak nak buat karnival ? bagus n menarik...thun lepas xdpt datang..

    BalasPadam