Jumaat, 9 Julai 2010
Pameran FSGK eCITRA 2010
Kehadiran teknologi dalam seni sejak penghujung abad Keduapuluh di Malaysia telah memberi impak yang mendalam kepada seni kontemporari secara khusus dan para pengkarya serta pengkaji seni secara umum. Walaupun kita berada dalam penghujung dekad pertama alaf Keduapuluh satu, kesinambungan dan kesan teknologi masih terpapar dan menunjukkan pengaruh yang lebih meluas dalam bidang seni di Malaysia. Seni kontemporari kini bukan sahaja cenderung ke arah eksplorasi dan eksperimentasi berteraskan teknologi tinggi, malah kaedah mempamer, mengurus dan memelihara karya seni turut dipengaruhi oleh fenomena ini. Secara umum hal ini menyebabkan bidang seni di negara ini melangkaui sempadan dan format yang digunapakai sebelumnya. Selari dengan perkembangan ini, aspek penyelidikan, tafsiran artistik, estetika, penerokaan dan pengucapan seni oleh pengkaji dan pengkarya turut mengalami anjakan ke tahap yang lebih berani. Pengkarya dan pengkaji seni secara sedar ataupun sebaliknya terdorong untuk mengaplikasi, meneliti dan mengeksprimentasi pelbagai genre seni dengan teknologi, lalu menghasilkan pelbagai genre karya serta penemuan-penemuan baru dalam seni. Dalam konteks ini, integrasi pelbagai disiplin (multi-discipline) dan antara disiplin (inter-discipline) merupakan elemen penting yang mendasari seni kontemporari di Malaysia pada masa kini.
Selari dengan fenomena ini, Pameran FSGK eCITRA 2010 dipersembahkan oleh Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). eCITRA adalah akronim kepada: exhibition on Creativity, Innovation, Technology and Research in the Arts. Konsep pameran eCITRA 2010 adalah menampilkan idealisme-idealisme yang diperkenalkan melalui paradigma baru yang lebih bersifat sejagat (universal). Intergrasi dan adaptasi antara teknologi tinggi dengan seni melalui penyelidikan, proses berkarya dan ekspresi pengkarya dalam eCITRA 2010 merupakan antara sumbangan tenaga akademik, pelajar pasca siswazah dan alumni FSGK kepada bidang seni di Malaysia. Pengisian dalam pameran ini akan membantu para peneliti, sarjana seni dan khalayak umum dalam memperjelas serta memperkukuhkan ”isme” seni kontemporari di Malaysia pada masa kini. Pada dasarnya, perlaksanaan pameran ini digunakan sebagai pentas untuk mempersembahkan pelbagai karya dan penemuan dalam bidang seni. Eksplorasi dan eksperimentasi dalam / antara seni, sains dan teknologi tinggi melalui penyelidikan yang bersifat inovasi serta kreatif menjadi formula utama dalam menjana penghasilan karya-karya dan produk-produk penyelidikan dalam pameran ini. eCITRA bakal diungkap sebagai satu pameran yang merencana serta menggambarkan keseluruhan aktiviti, kreativiti, imaginasi, inovasi, prasarana dan tenaga pakar yang dimiliki oleh FSGK UNIMAS.
Kepelbagaian dan keunikan penyelidikan bersifat inovasi beraplikasikan teknolgi tinggi, serta pengkajian yang berkisar dengan sentuhan elemen-elemen Sarawak yang ditampilkan dalam pameran ini bakal memberi satu kesan mendalam terhadap persepsi seni di Malaysia pada masa hadapan. Antara penyelidik dan pengkarya yang terlibat termasuklah Mohd. Fadzil Abdul Rahman, Zulkalnain Zainal Abidin, Hasnizam Abdul Wahid, Anuar Ayob, Nur Afifah Vanitha Abdullah, Saiful Bahari Mohd. Yusoff, Khairul Aidil Azlin Abdul Rahman, Nazlina Shaari, Sylvester Wielding Jussem, June Ngo, Azwan Abidin, Yoesbar Djaelani, Louis Ringah Kayan, Anna Durin, Noria Tugang, Connie Lim, Misato Sakai, Aslina Mohd. Jainal, St. Veronica Jr. Rosius, Nelly Kii, Vadivelan Simadiri, Suknisa Ching, Zainun Mat Hasan, Nur Hasnisyazana, Shilla Benjamin, Mohd. Hisham Mat Din dan Mohd. Izar Adenan.
Pameran FSGK eCITRA 2010 adalah projek ketiga di bawah TAUTAN RENTAS SAMUDERA USM-UNIMAS – UMS yang telah dimulakan dengan pameran IQRA’ – Taman Hikmah, anjuran Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah dilangsungkan di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada November 2009.
Tarikh Pameran:
12 Julai 2010 - 7 Ogos 2010
Tarikh Perasmian Pameran:
19 Julai 2010
Tempat:
Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Anjuran:
Universiti Malaysia Sarawak
Hos:
Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Penaja Bersama:
Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)
MASkargo
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan