Isnin, 29 Mac 2010
H I J A B S E O R A N G P E L U K I S
* V E I L O F A N A R T I S T
Gabungan karya-karya catan dan instalasi video mutakhir oleh * A fusion of recent paintings and video installation by
H A S N U L J S A I D O N
SINOPSIS
“Hijab Seorang Pelukis” (HSP) merupakan sebuah pameran solo hasil karya-karya catan dan instalasi video mutakhir oleh pengkarya multi-dimensi negara, Hasnul J Saidon. Hasnul, yang menerima anugerah Karyawan Seni Negara bagi kategori seni tampak (karyawan multi-dimensi) dari Kerajaan Malaysia pada tahun lepas (2009), telah diberi penghormatan oleh Balai Seni Lukis Pulau Pinang untuk mengadakan pameran solonya bertempat di premis Balai Seni di Dewan Sri Pinang dari 1 hingga 30 April 2010.
Ini merupakan pameran solo Hasnul yang ke tujuh sejak beliau berkecimpung dalam arena seni rupa pada tahun 1987. Selain dari bidang seni catan, Hasnul lebih dikenali diperingkat Kebangsaan dan antarabangsa menerusi sumbangannya dalam bidang seni elektronik . Hasil-hasil kajian, penulisan dan pengkaryaan beliau sejak lewat 1990an telah mencetus kepekaan baru terhadap potensi teknologi video dan media baru dalam amalan seni rupa Malaysia dan serantau. Kegiatan pengkaryaan beliau yang bersifat multi-dimensi meliputi pelbagai cabang seni seperti seni catan, lukisan, cetakan digital, seni video, media baru, rekabentuk, gubahan lagu dan teater. Kegiatan beliau juga dipacu oleh peranan dan pengalaman sebagai seorang ahli akademik, kurator, penulis, penyunting, pensyarah di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) dan kini Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM.
HSP merupakan kesinambungan dari tema karya-karya beliau terdahulu yang berkaitan dengan isu jati diri budaya, krisis representasi dan makna diri dalam kancah globalisasi, ledakan teknologi maklumat dan ekonomi pasaran bebas. Menerusi karya-karya terbaru yang lebih meditatif, Hasnul cuba memecah dikotomi, dualisme dan ilusi pemisahan antara yang tampak dengan yang ghaib, atau antara subjek yang melihat dengan objek yang dilihat. Beliau mengusulkan bahawa apa yang boleh dicerap secara zahir itu sebenarnya datang dari yang batin. Apa yang difikir dan dirasa menentukan apa yang dilihat. Beliau juga mengusulkan bahawa apabila kita melihat sebuah karya, kita sebenarnya melihat diri kita sendiri. Apabila tabir hijab dapat dibuka, apa yang dilihat bukanlah lagi merupakan kehadiran sebuah catan dan pelukisnya, akan tetapi kehadiran penonton sebagai insan yang melihat dan yang membuat penilaian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan