Rabu, 10 Mac 2010

"Limpas Bayu Borneo"



Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan bangganya mempersembahkan LIMPAS BAYU BORNEO, sebuah gabungan menarik yang memaparkan enam projek penyelidikan oleh para penyelidik dari UMS dan lima puluh tiga karya seni visual oleh lima belas orang pengkarya dari Sabah. Gabungan ini adalah sebahagian dari TAUTAN RENTAS SAMUDERA USM-UNIMAS-UMS yang bertujuan untuk mempergiatkan lagi usahasama penyelidikan, penerbitan dan akademik antara USM, UNIMAS dan UMS dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Disamping itu, lokasi universiti-universiti awam ini (seberang lautan) yang berada di luar dari ketepuan tarikan pusat (Kuala Lumpur) membawa banyak potensi untuk membangunkan bidang-bidang pilihan yang lebih segar dan belum diterokai.

LIMPAS BAYU BORNEO menandai anjakan dari segi kaedah kuratorial dalam mana kedua-dua penyelidik dan pengkarya seni visual dibentangkan sebagai peneroka ilmu dan pencari hikmah yang saling bersinergi, sentiasa dipacu oleh perasaan ingin tahu dan dipandu oleh keingingan untuk menggali-semula kekayaan warisan negara. Dalam hal ini, fokusnya adalah kekayaan warisan budaya tradisi Sabah yang unik. Menerusi gabungan ini, Sabah sebagai sebuah teks budaya, ditandai secara rasional dan emosional, secara akademik dan intuitif. Namun demikian, gambaran terhadap Sabah boleh dibaca menerusi pelbagai cara yang terbuka menerusi projek ini.
LIMPAS BAYU BORNEO menampilkan dokumentasi terperinci tentang dastar Iranun, sunduk Suluk, tatu Murut, gambus Brunei, kartunis Dusun dan rumah Dusun. Kajian-kajian ini kebanyakannya bersifat deskriptif, mencerminkan minat mendalam untuk menggali-semula beberapa peninggalan budaya Sabah yang kaya namun masih kurang diketahui umum. Pendekatan projek ini yang bersifat pengumpulan dan penerangan membolehkan pengunjung mentafsir dan membentuk pembacaan tersendiri tentang bagaimana Sabah sebagai sebuah teks budaya digambarkan atau harus digambarkan. Banyak yang boleh dipelajari dari kepelbagaian budaya Sabah. Dalam kes-kes tertentu, budaya ini ditandai oleh dikotomi politik Malaysia timur dan barat, juga oleh kedudukan geografinya yang sering dianggap kepinggiran jika dibandingkan dengan apa yang sering ditafsir sebagai ‘pusat’amalan seni kontemporari dan wacana budaya. Ia juga ditandai oleh bentuk-bentuk penentangan binari yang lain yang sudah sebati dalam wacana sosio-budaya – seperti antara kemodenan dan tradisi. Bagaimana jika Sabah dibaca sebagai pusat, manakala dunia yang lain dianggap sebagai pinggiran?
Malah, gabungan dalam LIMPAS BAYU BORNEO bertujuan untuk menyoal kebergantungan terhadap ide sepusat (misalnya Kuala Lumpur) dalam membaca Sabah sebagai sebuah teks budaya. Sabah boleh dibaca menerusi sudut pandangan Sabah sendiri, seperti juga ianya boleh dibaca dari pelbagai sudut pandangan yang lain. Oleh yang demikian, sebarang kajian, kaedah, wacana dan juga usaha menanda-aras tidak boleh dianggap mutlak dalam membina sebarang naratif tentang Sabah. Sebaliknya, gabungan ini menggalakkan ide-ide tentang kepelbagaian pusat, pertautan, keanjalan, kecairan dan kesementaraan dalam membina pelbagai naratif dan makna tentang Sabah. Oleh itu, ia menyah-stabil ide tentang ‘berada di pinggiran’dan melesapkan sebarang dikotomi mudah dalam mentafsir dan memberi reaksi terhadap Sabah.
Kebanyakan bahan hasil kajian dipersembahkan menerusi panel-panel grafik dengan beberapa bahagian interaktif untuk menyuntik dialog dan penglibatan pengunjung. Penglibatan dengan bahan hasil kajian diperkukuhkan lagi oleh paparan karya-karya seni visual. Karya-karya ini dibentangkan dalam tiga tema utama – figura sebagai lapangan untuk gambaran budaya, ironi dalam abstraksi, dan stuktur binaan dan persekitaran semulajadi.

Gabungan antara karya-karya akhir dan bahan hasil kajian mencetuskan dialog yang menarik. Pada satu tahap, ia mengimbas-semula hubungan pelik antara bebanan fahaman seni moden dengan tradisi tempatan, yang diantaranya menghasilkan beberapa bentuk produksi artistik bertujuan menyahut seruan pasaran pelancongan budaya. Terdapat beberapa karya yang menggemakan ide tentang ‘orang lain yang eksotik’ terutama sekali dalam mewakili atau menggambarkan wanita dan feminiti. Apa yang menarik, walaupun telah wujud kesedaran pasca-kolonial, kelainan dan penonjolan perbezaan (dari kacamata modenis Barat) masih bertahan. Ramai dikalangan pengkarya seni visual dalam gabungan ini secara ironisnya mencerminkan keinginan romantis untuk menemui-kembali dan meraikan jati diri menerusi sisi kolonial dan modenis. Sisi ini secara tidak langsung menandai suatu pemisahan dari akar budaya menerusi wacana seni moden dan kontemporari. Adakah wacana seni moden dan kontemporari itu berkecuali atau bebas nilai?

Abstraksi umpamanya, menampilkan ironi yang menggamit minda. Abstraksi sebenarnya sudah lama berakar dalam banyak bentuk kosmologi tradisional serta tatabahasa visual Asia Tenggara, seperti yang boleh dilihat pada motif-motif tatu Murut dan sunduk Suluk. Namun, seperti yang boleh dikesan pada karya-karya yang dipamerkan, abstraksi telah diguna-semula menerusi lensa modenis. Ide tentang kelestarian dan kepelbagaian budaya juga mungkin boleh diheret dalam kancah paradoks yang sama, walaupun keduanya sudah merupakan elemen yang intrinsik dalam banyak bentuk warisan budaya Sabah. Dalam soal ini, ide berkaitan 1Malaysia juga boleh dibaca sebagai jelmaan-semula terhadap apa yang telah dihidup dan diamalkan di Sabah atau Borneo amnya sejak sekian lama.

Pada tahap yang lain, gabungan ini mungkin mengingatkan kita bahawa Sabah sebagai teks budaya boleh dibaca menerusi pelbagai cara dalam usaha untuk meneliti bagaimana sesuatu ideologi politik, ekonomi, sosial dan budaya serta ritual agama itu diperturun, diamal, diperkukuh, distabil, dimulia, dibiasa, diperkasa, dibelai dan digambarkan. Secara tidak langsung, keseluruhan proses mengkaji, mendokumen, mengindeks, mengarkib, menerang, mentafsir, merenung dan menzahirkan, juga segala hal logistik untuk membawa gabungan ini dan menerangkan kandungannya, mungkin boleh memberi kesan dan pengaruh terhadap penelitian di atas. Gabungan ini juga menyatakan-semula bahawa instrumen (dan kaedah) pemerhatian, analisis dan wacana seseorang itu tidak selamanya berkecuali; bahawa ianya turut memainkan peranan dalam mempengaruhi dapatan kajian dan makna budaya. Gabungan antara metodologi akademik dan intuitif menegaskan lagi persoalan ini.

Ringkasnya, gabungan ini boleh dianggap sebagai sebuah perjalanan menerusi beberapa tunggangan. Perjalanan ini digambarkan dengan sesuai (secara fizikal dan metafizikal) oleh penggunaan satu motif sunduk Suluk yang juga kelihatan seperti sebuah bot tradisional Suluk dipanggil lepa. Istilah ‘limpas’itu sendiri merujuk kepada ‘memohon untuk lalu’yang dikaitkan dengan bayu, merujuk kepada Sabah sebagai negeri di bawah bayu. Malah, kematian itu sendiri, berdasarkan banyak bentuk tradisi, bukanlah pengakhiran yang mutlak. Ia adalah permulaan untuk ‘laluan’, perjalanan dan jumpaan yang lebih panjang. Ia juga membolehkan sesuatu yang baru dilahirkan.

MGTF USM menjemput anda untuk menyertai dan menjadi sebahagian dari gabungan, perjalanan dan penemuan menarik ini.
Antara penyelidik dan pengkarya yang terlibat termasuklah Prof. Madya Hj. Inon Shaharuddin Abdul Rahman, Prof. Madya Ismail Ibrahim, Zaimie Sahibil, Mohamad Azareen Aminullah, Mohammad Puad Bebit, Jennifer Linggi, Christianne Goonting, Datuk Mohd. Yaman Hj. Ahmad Mus, Dzulkifli Abdul Rahman, Datu Ruslan Sulai, Datin Maimun Pg. Bagul, Tina Rimmer, Zulwawi Hashim, Suzani Suhaimi, Awang Azmi Awang Bakar and Muslim Matajim.

Gabungan ini disatukan oleh Hasnul J Saidon, Pengarah MGTF USM, dengan koordinasi bahan oleh Mohamad Puad Bebit dari UMS, Christianne Goonting dari Persatuan Seni Visual Sabah, Abdul Rasyid bin Abdul Razak dari Galeri Seni Melayu Pulau Pinang dan bantuan kuratorial dari Afzanizam Mohd Ali, Nur Hafizah Abd. Aziz and Nor Mohamad Abd. Rahim.

Limpas Bayu Borneo adalah projek kedua dibawah TAUTAN RENTAS SAMUDERA USM-UNIMAS-UMS yang dimulakan oleh pameran IQRA’- TAMAN HIKMAH, anjuran MGTF USM yang dilangsungkan di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif(FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun lepas. Projek ketiga adalah pameran hibrid oleh FSGK UNIMAS di MGTF USM pada bulan Julai 2010 akan datang.


Hasnul J Saidon
Pengarah
Muzium & Galeri Tuanku Fauziah
Universiti Sains Malaysia

1 ulasan:

  1. 'LIMPAS BAYU BORNEO'
    1 - 31 MARCH 2010
    MUZIUM & GALERI TUANKU FAUZIAH, (USM)
    Visiting times: Tues - Sun, 9am - 6pm;
    closed Friday, 12.15noon - 2.45pm; Monday & Public Holidays
    Admission is free

    BalasPadam